GPS bermain kata-kata berhubung keanggotaan dalam PN?

Pemimpin GPS semasa sidang media pada Mac. Gabungan itu baru-barunya menyertai parti lain untuk mengesahkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional. (Gambar Bernama)

KUCHING: Seorang ahli akademik mendakwa pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah negeri itu bermain kata-kata dalam usaha mereka menjelaskan hubungan dengan Perikatan Nasional.

Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia berkata, perisytiharan GPS bahawa mereka menyokong PN juga bermakna ia menyertai gabungan kerajaan persekutuan itu.

Katanya, pemimpin GPS hanya bermain kata-kata apabila mendakwa bahawa ia hanya menyokong PN, tetapi bukan sebahagian daripadanya.

“Menyokong PN sebagai entiti yang berasingan dan menyertainya sebagai komponen adalah perkara sama,” katanya.

“GPS memang sudah bersama-sama dengan PN dan pemimpinnya hanyalah bermain kata-kata.”

Ketika kerajaan PN ditubuhkan pada Februari, Umno, PAS dan GPS bersetuju untuk mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Pada Ahad, pemimpin PPBM, Barisan Nasional, PAS, GPS, PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengesahkan sokongan kepada PN.

Bagaimanapun Lee Kuok Tiong dari Universiti Malaysia Sabah berkata, beliau tidak melihat kemungkinan GPS menyertai mana mana gabungan politik kerana ia berbangga dengan imejnya sebagai kuasa penentu.

“Selain itu PPBM berdepan masalah dalaman yang belum diatasinya,” katanya kepada FMT.

“Saya fikir tidak akan ada perbincangan mengenai kemungkinan GPS menyertai PN pada masa ini.

Lee berkata, PN tidak didaftarkan sebagai sebuah gabungan politik.

“Ia diwujudkan untuk mewakili sekumpulan ahli Parlimen yang bergabung bagi membentuk kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin parti politik yang menandatangani MoU baru-baru ini berbuat demikian untuk menunjukkan bahawa Muhyiddin mendapat sokongan majoriti sebelum berlangsungnya persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.