Kerajaan komited pantau, tangani masalah alam sekitar, kata timbalan menteri

Ahmad Masrizal Muhammad berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air akan giat mempromosikan ‘green lifestyle’ dalam setiap aspek kehidupan rakyat secara individu, berkumpulan dan melalui aktiviti ekonomi.

PETALING JAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air komited menangani masalah pencemaran dan akan terus memantau serta memelihara alam sekitar, walaupun kualiti udara dan tahap pencemaran semakin pulih sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Timbalan Menterinya, Ahmad Masrizal Muhammad berkata demikian sebagai menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memandang ringan isu kemerosotan alam sekitar dan perubahan iklim menerusi ucapan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Dewan Rakyat Isnin lalu.

“Sesungguhnya wawasan jauh baginda dalam isu alam sekitar ini amat besar sekali maknanya kepada negara kerana alam sekitar yang terjaga elok adalah penting untuk generasi akan datang.

“Saya dan pihak kementerian juga akan giat mempromosikan ‘green lifestyle’ dalam setiap aspek kehidupan rakyat secara individu, berkumpulan dan melalui aktiviti ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Isnin lalu, Sultan Abdullah melalui titah diraja berkata, kerajaan perlu komited dalam usaha mengetengahkan isu alam sekitar dan perubahan iklim kerana kesan kemerosotan alam sekitar terhadap negara serta dunia tidak boleh dipandang remeh.

Agong berkata, memperkasakan undang-undang alam sekitar, aktiviti penguatkuasaan dan kerjasama erat semua pihak, termasuk antara negara serantau perlu diteruskan dan usaha memulihara sungai, hutan, hidupan liar, mengurangkan pelepasan gas rumah kaca serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui perlu ditingkatkan.

Sementara itu, Masrizal berkata, ketika rakyat sibuk menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup sempena norma baru dan sektor swasta cuba memulihkan perniagaan, sebarang usaha untuk mengancam kestabilan kerajaan tentu tidak dialu-alukan semua pihak.

“Tindakan itu hanya akan mengundang perasaan marah dan menjengkelkan rakyat kerana buat masa ini, isu pekerjaan, gaji, kesihatan mental, keperluan asas dan pendidikan anak-anak lebih mustahak untuk kita tangani.

“Oleh demikian, kita semua perlu bersatu hati dalam menyelamatkan Malaysia daripada krisis ini dahulu daripada meneruskan polemik politik yang tidak berpenghujung.”