Kreatif… Meja makan patuh jarak sosial guna tayar gergasi

Idea kreatif apabila menyediakan gelung getah tayar gergasi sebagai meja untuk pelanggan. ( Gambar Facebook)

Sebuah restoran di Maryland, Amerika Syarikat tampil dengan idea kreatif apabila menyediakan gelung getah tayar gergasi sebagai meja untuk pelanggan.

Ini bagi memastikan pelanggan di restoran mematuhi penjarakan sosial sebagai prosedur mengelak penularan Covid-19.

Daily Star melaporkan, pemilik restoran berkenaan membeli meja bumper buatan khas dan beroda demi memastikan setiap pelanggan berada sekurang-kurangnya 1m antara satu sama lain.

Dalam rakaman langsung Facebook (FBLive) pada Sabtu, pekerja restoran dirakam mencuba meja terbaharu itu.

Pelanggan masih dapat bersembang dan bergerak, namun tetap berada dalam jarak sosial selamat.

Pemilik restoran, Donna Harman berkata, idea itu tercetus berdasarkan acara yang pernah dianjurkan Revolusi Rekaan dan Pembuatan di Baltimore.

Idea itu mendapat reaksi positif orang ramai selepas menonton video berkenaan.

Pelanggan berkata, hanya restoran berkenaan ada meja unik untuk penjarakan sosial.

“Kini kita berada satu meter antara satu sama lain. Jadi boleh minum dengan selamat,” katanya.

Katanya, meja itu juga membolehkan pelanggan makan di mana-mana saja.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]