Muhyiddin boleh hadapi undi tidak percaya, tetapi…

Penganalisis berkata, kelangsungan kerajaan gabungan pimpinan Muhyiddin lebih penting bagi PPBM berbanding rakan kongsinya.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menjangka Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan terselamat daripada usul undi tidak percaya yang kini diusahakan oleh Dr Mahathir Mohamad, tetapi tidak untuk tempoh yang lama.

“Buat masa ini Muhyiddin mempunyai cukup sokongan untuk bertahan,” kata Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia.

“Ini tidak bermakna pembangkang akan berhenti daripada mencuba untuk menjatuhkannya menerusi usul undi tidak percaya yang ke-2 atau ke-3.”

Beliau bersetuju dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mungkin bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Baru-baru ini Anwar berkata, keengganan kerajaan mengadakan persidangan Dewan Rakyat seperti biasa Isnin lepas merupakan isyarat bahawa ia tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan takut untuk menghadapi undi tidak tidak percaya.

Azmi berkata, penilaian Anwar tepat berdasarkan majoriti PN yang kecil, selain ia (PN) merupakan gabungan yang rapuh.

“Sekiranya 1 daripada 3 parti utama dalam PN, iaitu Barisan Nasional, PAS dan GPS, menarik balik sokongan mereka, kerajaan Muhyiddin boleh tumbang pada bila-bila masa,” katanya.

“Berbanding BN, PAS atau GPS, kelangsungan PN lebih penting bagi PPBM.

“Bagi BN dan PAS, sekiranya pilihan raya umum diadakan hari ini, pencapaian mereka akan lebih baik berbanding pilihan raya umum ke-14.”

GPS juga berada pada kedudukan yang baik untuk mempertahankan kerusinya, tambah beliau.

Katanya, perbezaan agenda antara PPBM dengan parti lain berkemungkinan besar merupakan kelemahan yang akan memecahkan PN.

Bagaimanapun kata beliau, ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana parti terlibat mahu kekal dalam kerajaan untuk memperkuatkan pengaruh masing-masing.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya juga berkata, kedudukan kerajaan PN goyah kerana majoritinya yang kecil.

Beliau berkata, dalam keadaan PPBM, PAS dan Umno saling bersaing antara satu sama lain, maka akan wujud masalah kepercayaan dalam gabungan politik itu.

“Malah dalam Umno sendiri, terdapat individu yang dikenali sebagai penyokong Anwar seperti Nazri Aziz dan beberapa yang lain yang tidak menonjol pada masa ini.”

Beliau berkata, Muhyiddin perlu memperkukuhkan sokongan kepadanya bagi menumpaskan sebarang usul undi tidak percaya.

“Kelangsungan pentadbirannya bergantung pada strategi beliau melemahkan sokongan kepada Mahathir dan Anwar dalam kalangan ahli Parlimen.”