Peru negara Amerika Latin ke-2 lepasi angka 100,000 kes Covid-19

Pekerja rumah pengebumian memunggah keranda di luar krematorium di Lima pada 20 Mei. (Gambar AP)

LIMA: Peru menjadi negara Amerika Latin ke-2 selepas Brazil mencatatkan 100,000 kes koronavirus, berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Rabu.

Jumlah kematian akibat Covid-19 juga melepasi 3,000 orang, dengan Brazil dan Mexico merekodkan lebih banyak kes.

Kedua-dua kes jangkitan dan kematian meningkat 3 kali ganda sejak 30 April.

Statistik yang mebimbangkan itu muncul walaupun Peru melaksanakan sekatan pergerakan selama 9 minggu, yang melumpuhkan ekonomi negara itu.

Sebilangan besar kes berlaku di Lima dan pelabuhan Callao, di mana 1/3 daripada 32 juta penduduk negara itu tinggal.

Sistem kesihatan Peru hampir lumpuh, dengan hospital awam berdepan kekurangan peralatan yang drastik.

“Ia seperti filem seram,” kata Miguel Armas, seorang jururawat di hospital Hipolito Unanue di ibu kota Lima kepada AFP.

“Di dalamnya seperti tanah perkuburan yang dipenuhi mayat.

“Pesakit meninggal dunia di atas kerusi mereka (atau) di atas kerusi roda mereka.”

Armas dan rakan sejawatnya membuat bantahan di jalan raya pada Rabu menuntut peralatan keselamatan yang lebih baik.

Peru mempunyai 7,500 pesakit yang menerima rawatan untuk Covid-19, menurut angka terkini.

Krematorium di Lima terpaksa bekerja siang dan malam untuk menguruskan kematian, sementara kereta jenazah berbaris di luar beberapa hospital di kawasan kejiranan Callao.

“Bapa saya meninggal seorang diri, tidak ada doktor, (pesakit) mati kerana tidak ada doktor dan tidak ada ubat,” kata Gloria Baylon, 37, kepada AFP di luar hospital Luis Negreiros di Callao.