PKPD Pasar Jalan Othman tamat esok

Kawasan di sekitar Pasar Jalan Othman diletakkan di bawah PKPD sejak 10 Mei lalu.

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor sejak 10 Mei lalu akan ditamatkan esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ini bermakna tiada lagi PKPD, yang tinggal hanyalah PKPD secara pentadbiran.

“Jadi ini merupakan PKPD terakhir, jadi selepas ini, tidak ada PKPD. Ada satu, dua, itu adalah PKPD secara pentadbiran, mungkin di Pasar Pudu dan sebagainya.

“Tetapi PKPD yang ‘lockdown’ sepenuhnya telah tamat di Jalan Othman, maka tiada lagi PKPD,” katanya pada sidang media hariannya.

Kawasan di sekitar Pasar Jalan Othman diletakkan di bawah PKPD sejak 10 Mei lalu.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

PKPD di kawasan itu sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa sehingga 23 Mei.

Teliti SOP gunting rambut

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan persatuan gunting rambut, sebelum membenarkan perkhimatan itu beroperasi.

Katanya, beliau dimaklumkan persatuan gunting rambut telah hantar SOP mereka kepada MKN dan KKM.

“Kedai gunting rambut ini dia ada berbagai kategori, ada kategori di pusat beli belah yang mahal dan ada yang saya selalu gunakan kedai mamak gunting rambut.

“Jadi SOP itu nak diperketatkan. Sebab ramai orang masih takut gunting rambut yang dianggap sebagai agak berbahaya, penjarakkan sosial sukar dilakukan kerana kena pegang rambut dan sebagainya,” katanya.

Ismail berkata sebarang keputusan mengenai operasi gunting rambut akan dimaklumkan.

tambahan tag: gunting rambut