Shahrir akan kemuka representasi gagal isytihar RM1 juta kepada LHDN

Shahrir Samad ialah bekas pengerusi Felda.

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perkara itu dimaklumkan peguamnya Syahrul Syazwan Salehin ketika pengurusan kes di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, hari ini.

Syahrul Syazwan berkata, pihaknya akan meneliti dokumen berkaitan dan berbincang dengan anak guamnya berhubung permohonan representasi itu.

“Saya mengesahkan pihak pembelaan menerima semua dokumen berkenaan kes ini daripada pihak pendakwaan hari ini. Saya mohon mahkamah tetapkan tarikh baru untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan bermula.”

Azura menetapkan 19 Ogos untuk pengurusan kes dan tarikh perbicaraan selama 9 hari bermula 12 hingga 15 Okt, 9 hingga 12 Nov dan 3 Dis.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa turut memaklumkan mahkamah 9 saksi dijadualkan memberi keterangan dalam perbicaraan.

Shahrir, 71, dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.