Syarikat insurans perubatan digesa perangi sikap tamak hospital swasta

Harga siling untuk topeng muka 3 lapis ialah RM1.50 setiap satu.

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pengguna menggesa penyedia insurans perubatan melindungi pelanggan mereka daripada dikenakan bayaran berlebihan oleh hospital swasta.

Mengulas mengenai laporan hospital swasta yang disiasat atas dakwaan mengenakan bayaran tidak masuk akal untuk topeng muka 3 lapis, Naib presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) Beninder Johl berkata firma insurans mempunyai peranan penting dalam memerangi kecenderungan hospital swasta mengaut keuntungan.

“Penyedia insurans perubatan mesti meneliti bil yang diserahkan hospital swasta dan menyoal mereka jika cajnya terlalu tinggi,” katanya.

Beliau memberitahu FMT pesakit yang dilindungi insurans biasanya tidak akan membangkitkan masalah ini kerana mereka bukan orang yang membayar kos perubatan.

“Bagaimanapun MCM menerima banyak aduan mengenai caj tinggi yang dikenakan pusat perubatan swasta terutama daripada pesakit yang membayar sendiri.”

Sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur disiasat kerana mengenakan bayaran sebanyak RM201.60 kepada seorang pesakit untuk 18 topeng muka 3 lapis yang digunakan jururawat yang merawatnya.

Menurut Iskandar Halim Sulaiman, pengarah penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), siasatan itu dijalankan selepas menerima aduan daripada pesakit terbabit.

“Harganya terlalu tinggi, iaitu bersamaan RM11.20 sekeping,” kata Iskandar dalam satu kenyataan media.

Topeng muka untuk perlindungan daripada jangkitan virus adalah barangan kawalan dan kerajaan menetapkan harga syiling untuk variasi 3 lapis pada harga RM1.50 setiap satu.

Tindakan itu seolah-olah hospital terbabit mempermainkan pihak berkuasa, kata Johl.

Beliau menggesa syarikat insurans menggugurkan hospital itu daripada senarai hospital panel jika ia didapati terbabit dalam amalan tidak beretika dan mencadangkan agar pihak pengurusan berkomunikasi dengan pesakit mengenai caj bayaran sebelum kemasukan ke hospital.

“Ini akan memberi gambaran jelas kepada hospital swasta bahawa tindakan agresif tidak akan dikompromi,” katanya.

Beliau berkata bayaran perubatan harus ditentukan dengan jumlah yang sedia dibayar syarikat insurans dan bukannya menyerahkannya kepada hospital. “Jangan sesuka hati menaikkan premium untuk menampung kenaikan kos perubatan yang tidak adil.”

Beliau menggesa kerajaan memantau hospital swasta untuk melindungi pesakit daripada ditipu.

“Adalah lebih baik jika Kementerian Kesihatan menubuhkan sebuah tribunal untuk mendengar keluhan pengguna mengenai masalah perubatan,” tambahnya.