Thailand cadang perintah darurat dilanjut sebulan hingga 30 Jun

Majlis Keselamatan Thailand berkata, perintah darurat itu perlu dilanjutkan untuk menghalang gelombang ke-2 Covid-19 yang merekodkan 3,307 kes positif dengan 56 kematian di negara itu setakat ini. (Gambar AP)

BANGKOK: Majlis Keselamatan Thailand (NSC) hari ini mencadangkan perintah darurat dilanjutkan sehingga 30 Jun ini untuk mengekang penularan Covid-19 secara berkesan di negara itu.

Ketika Thailand terus mencatatkan bilangan rendah kes baru Covid-19, Setiausaha Agung NSC, Somsak Rungsita berkata langkah itu perlu untuk menghalang gelombang ke-2 pandemik itu di Thailand yang merekodkan 3,307 kes dengan 56 kematian.

Somsak yang mempengerusikan mesyuarat melonggarkan sekatan dan langkah Covid-19, berkata jawatankuasa itu mencadangkan lanjutan perintah darurat yang akan berakhir 31 Mei ini selama sebulan lagi.

“Situasi Covid-19 di Thailand bertambah baik, bagaimanapun keadaan di seluruh dunia masih membimbangkan kerana bilangan kes yang disahkan terus meningkat.

“Untuk menghalang gelombang ke-2 penularan pandemik Covid-19, fasa ke-3 dan ke-4 pelonggaran sekatan dan langkah-langkah pada Jun akan lebih baik membendung pandemik itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Somsak berkata, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) esok, akan memutuskan sebelum mengemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan pada Selasa.

Thailand pertama kali mengisytiharkan perintah darurat pada 26 Mac hingga 30 April lalu, sebelum melanjutkan tempoh itu sehingga 31 Mei ini untuk memerangi pandemik Covid-19.

Negara itu memulakan fasa pertama pelonggaran sekatan pada 3 Mei lalu membabitkan 6 jenis perniagaan dan tempat yang dibuka semula, manakala fasa ke-2 bermula 17 Mei lalu.

Sementara itu, jurucakap CCSA, Thaweesilp Wissanuyothin berkata Thailand melaporkan 3 kes baru Covid-19 dan sifar kematian sepanjang 24 jam lalu, menjadikan keseluruhan 3,037 kes positif dengan 56 kematian.

Beliau berkata, 3 kes baru itu membabitkan seorang lelaki Jerman berusia 42 tahun yang melawat isterinya di wilayah utara Chaiyaphum dan 2 rakyat Thailand – lelaki berusia 72 tahun di Bangkok yang mempunyai sejarah melawat hospital dan kedai gunting rambut, serta seorang wanita tempatan berusia 25 tahun yang pulang dari Filipina.

Seramai 2,897 daripada 3,037 pesakit Covid-19 sudah sembuh, manakala 84 masih berada di wad.

Sementara itu, Thaweesilp berkata, beberapa hotel mewah terpilih dan resort di negara itu menawarkan kemudahan kuarantin bagi pelawat asing yang sanggup membayar kemudahan itu.

Katanya, hotel, resort dan hospital akan bekerjasama untuk menyediakan perkhidmatan kepada warga asing yang dibenarkan memasuki negara itu di bawah dekri darurat dan menjalani 14 hari kuarantin.

“Ini akan meringankan beban kewangan kerajaan.”