10,000 lagi keluarga dijangka layak terima zakat di Selangor susulan Covid-19

Selangor menjangka bilangan penerima zakat akan bertambah walaupun jumlah kutipan zakat tahun ini berkurang.

PETALING JAYA: Pihak berkuasa Islam di Selangor berkata, kesan ekonomi wabak Covid-19 mungkin menyebabkan sekurang-kurangnya 10,000 lagi keluarga di negeri itu termasuk ke dalam kategori asnaf zakat yang layak menerima bantuan.

Pada masa sama, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga menjangkakan jumlah kutipan lebih rendah tahun ini daripada individu dan perniagaan yang menerima kesan krisis itu.

LZS berkata, ia menjangka 70,000 keluarga memerlukan bantuan zakat pada akhir tahun ini, namun lanjutan tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) mungkin meningkatkan angka itu.

“Akibat PKP, kami menjangka angka itu mungkin bertambah kepada 75,000 hingga 85,000 keluarga di Selangor,” kata ketua pegawai kutipan zakat LZS kepada FMT, dengan menambah bahawa angka itu berubah-ubah setiap bulan.

“Ia bergantung pada selama mana (krisis) berlanjutan,” katanya.

“Jika sekatan pergerakan berterusan sehingga akhir tahun, angka tersebut akan menjadi lebih tinggi.”

Beliau berkata, Selangor mengunjurkan kutipan zakat sebanyak kira-kira RM900 juta.

Zakat adalah kewajipan agama ke atas orang Islam yang memenuhi beberapa kriteria kekayaan. Sebanyak 2.5% nilai simpanan atau kekayaan yang melepasi jumlah minimum tertentu dikutip setiap tahun.

Sabirin berkata, penurunan kutipan zakat mungkin memaksa LZS menangguhkan beberapa skim bantuan bagi menampung peningkatan bilangan anggota masyarakat yang memerlukan bantuan kewangan.

Ini termasuklah bantuan bukan-kritikal seperti tajaan pendidikan, yang mungkin dikurangkan atau ditangguh, katanya.

Zakat fitrah

Dalam pada itu, jumlah kutipan zakat fitrah secara atas talian pada bulan Ramadan meningkat sehingga 400% tahun ini.

Peningkatan ini berpunca daripada penutupan masjid yang secara tradisinya merupakan pusat kutipan zakat di negeri itu.

Sabirin berkata, setakat 15 Mei, LZS mengutip sebanyak RM8 juta daripada kira-kira 224,000 individu yang menggunakan platform bayaran atas talian, berbanding RM1.6 juta daripada 41,000 orang tahun lepas.

Selangor mencatatkan kutipan zakat berjumlah RM26.3 juta tahun lepas.

Kadar zakat di Selangor ialah RM7 seorang dan perlu ditunaikan sebelum Hari Raya pada penghujung Ramadan.

Salim berkata, orang ramai lebih suka membayar zakat secara konvensional.

“Mereka berbuat demikian atas sebab kebiasaan,” katanya.

Orang ramai boleh membayar zakat secara atas talian di www.zakatselangor.com.my.