Depoh tahanan Bukit Jalil ada pertambahan 25 kes baru

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan depoh tahanan Imigresen di Bukit Jalil dikategori sebagai kluster aktif berikutan pertambahan 25 kes baru Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 60 kes.

“25 kes baru itu warga Pakistan. Kita akan saring semua dan yang positif akan dirawat dulu.

“Kita hanya hantar pulang mereka ke negara asal jika negatif Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Hisham juga melaporkan

2 kes positif di depoh tahanan Imigresen di Semenyih adalah warga Myanmar.

Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di depoh Bukit Jalil dan Semenyih perlu menjalani ujian swab selepas jangkitan Covid-19 dikesan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang positif dihantar ke pusat kuarantin pesakit Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 1 kluster baru dikesan di depoh Bukit Jalil, dengan 35 daripada 645 orang yang disampel didapati positif.

Sementara itu, ada pertambahan 11 kes dalam Kluster Kampung Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 198.

Kluster Pesantren pula melaporkan pertambahan 6 kes, menjadikan keseluruhannya sebanyak 238 kes.

“Pasar Borong Kuala Lumpur ada pertambahan 1 kes, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 204.

“Pudu ada pertambahan 1 kes, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 66 kes,” katanya.