Ibu bapa, persatuan fail semakan kehakiman batal murid sekolah vernakular belajar Jawi

Keputusan memperkenalkan tulisan khat kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di sekolah vernakular dibuat kerajaan PH pada Januari.

KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan 2 persatuan memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan kerajaan mewajibkan murid sekolah rendah Cina dan Tamil belajar tulisan khat atau Jawi.

R Visa Letchumy, presiden Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Cina Tan Kim Sen @ Tan Boon Tak dan pengerusi Persatuan Hindu Agamam Malaysia, D Ravi juga mahu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi ditangguhkan sementara menunggu keputusan akhir mahkamah.

Ketiga-tiga pemohon yang memfailkan tindakan mereka 2 hari lalu mesti mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi sebelum kes mereka didengar.

Peguam T Gunaseelan berkata permohonan ex-parte akan didengar di depan hakim Nordin Hassan pada 2.30 petang pada 7 Julai.

Keputusan untuk memperkenalkan tulisan khat kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di sekolah vernakular dibuat kerajaan Pakatan Harapan pada Januari.

Berikutan menerima kritikan daripada kumpulan pendidikan, kerajaan kemudian mengumumkan Jawi adalah pilihan dan tidak akan dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

Tan yang memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan semakan kehakiman, berkata tulisan khat, yang berasal dari Arab Saudi, mempunyai konotasi agama.

Beliau menambah umat Islam menggunakan tulisan khat untuk mewakili Tuhan kerana Islam melarang penggunaan gambar.

“Khat adalah seni yang dihormati kerana ini juga merupakan cara terbaik untuk memelihara Al-Quran,” kata Tan dalam afidavit yang dilihat FMT.

Tan, yang juga merujuk kepada sejumlah artikel yang ditulis pihak berkuasa dan akademik Islam, berkata kaligrafi Islam akan mengelirukan umat Islam jika orang bukan Islam dibenarkan untuk menggunakannya, sebagai contoh dalam poster untuk aktiviti keagamaan.

“Tambahan lagi, penggunaan tulisan khat dalam perniagaan dan aktiviti tidak bermoral dari perspektif Islam akan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam,” tambahnya.

Tan berkata, pengajaran tulisan khat yang diwajibkan di sekolah Cina dan Tamil juga bertentangan dengan Artikel 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

“Mata pelajaran wajib ini untuk murid bukan Islam adalah cara untuk menanam nilai-nilai Islam, dan ibu bapa berhak untuk menolaknya,” katanya.

Beliau juga berkata mewajibkan pengajaran tulisan khat adalah keputusan yang tidak rasional kerana seni itu tidak dapat digunakan untuk menulis petikan daripada teks agama bukan Islam.