Kerajaan akan gubal RUU Pelaksanaan Langkah Sementara tangani Covid-19

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata kerajaan setuju dengan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan Covid-19.

Beliau berkata ia dipersetujui melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 April dan 20 Mei lalu melibatkan beberapa pindaan di bawah Akta tertentu dalam usaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat pasca Covid-19.

“Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) ini adalah komitmen kerajaan untuk meminimumkan impak penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial kepada rakyat serta industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata kerajaan yakin kesan pasca Covid-19 dapat ditangani dengan berkesan dan efisien.

Beliau berkata semua kementerian diminta mengenalpasti akta-akta yang perlu dipinda mengikut Kementerian masing-masing dan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggubalan Rang Undang-Undang tersebut yang akan dipengerusikan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) pada 28 Mei ini.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai penyelaras langkah penggubalan ini dan hasil perbincangan serta sesi libat urus kementerian bersama agensi pelaksana termasuk CSO serta NGO akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi cadangan pembentangan di Parlimen pada Julai ini.

“Penggubalan RUU Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan Covid-19 ini merupakan pelepasan sementara bagi mengatasi sebarang peruntukan yang tidak selaras dengan akta berkaitan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Takiyuddin berkata setiap cadangan untuk dimasukkan dalam RUU ini hendaklah berbangkit daripada kesan penularan wabak Covid-19 dan mempunyai impak terhadap perniagaan, firma termasuk PKS serta rakyat secara keseluruhan.

Katanya, kerjasama semua kementerian dan pihak berkepentingan adalah amat diharapkan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan tindakan tersebut.