Kluster depoh Bukit Jalil cetus kebimbangan gelombang baru Covid-19

Depoh imigresen Bukit Jalil kini diklasifikasikan sebagai kluster baru Covid-19 berikutan 35 kes baru di kesan di pusat tahanan itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pelbagai kumpulan menyuarakan kebimbangan kemunculan gelombang baru jangkitan Covid-19 berikutan penahanan sejumlah besar pendatang asing dalam serbuan baru-baru ini.

Mereka berkata mungkin akan berlaku pertambahan kluster jangkitan Covid-19 yang dikesan di depoh imigresen Bukit Jalil baru-baru ini.

Depoh itu diklasifikasikan sebagai kluster baru Covid-19 semalam selepas 35 kes positif dikesan di situ.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 35 tahanan ditempatkan di depoh terbabit sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, ratusan tahanan baru kini berdepan risiko tinggi dijangkiti.

Ketua eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib berkata, mereka yang bertugas di depoh itu juga turut berisiko.

Katanya, adalah lebih selamat jika Jabatan Imigresen memilih untuk menjalankan prosedurnya di lokasi pendatang berada, bukan mengangkut mereka ke pusat tahanan terlebih dahulu, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan.

Azrol juga berkata Putrajaya seharusnya mengumumkan moratorium ke atas serbuan imigresen ketika krisis Covid-19.

Presiden MMA Dr N Ganabaskaran berkata, keadaan yang teruk di pusat tahanan, dengan tahap kebersihan yang lemah dan ruang yang terbatas, hanya berfungsi menggalakkan jangkitan.

Ganabaskaran berkata terdapat risiko tahanan baru menyebabkan lebih banyak jangkitan.

González Morales, pelapor khas PBB mengenai hak-hak pendatang, berkata, mustahil untuk melaksanakan langkah pencegahan seperti penjarakan sosial di pusat tahanan.

Dalam satu kenyataan, beliau menggesa pihak berkuasa mencari alternatif untuk tahanan di kemudahan terbabit.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata, dengan terus melakukan serbuan imigresen dan penahanan pendatang akan merisikokan semua orang, termasuk pegawai penguat kuasa.

“Ketika ini jelas bukan waktunya untuk membetulkan kekacauan yang menjadi tanggung jawab kita, iaitu pemerdagangan buruh dan buruh paksa yang berlaku selama beberapa dekad,” katanya.

“Mari gunakan alternatif lain selain penahanan bagi menguruskan situasi itu.”