Kuasa dan perpecahan: Jawatan tertinggi Umno kembali menarik minat

Umno dilihat membuat persediaan awal bagi pemilihan parti itu tahun depan, yang pertama kali diadakan sejak ia kembali berkuasa di bawah pakatan politik baru.

KUALA LUMPUR: Bibit perpecahan semakin merebak dalam Umno sewaktu pemimpin parti berebut jawatan tertinggi, hanya 2 bulan selepas parti itu kembali berkuasa berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari.

Sumber dalaman parti memberitahu FMT, bagaimana kumpulan dibentuk membabitkan 6 personaliti, termasuk presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas bosnya Najib Razak.

Turut terbabit dalam “perlumbaan” itu adalah timbalan presiden Mohamad Hasan, Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein.

Satu kejutan baru ialah Ismail Sabri Yaakob, seorang daripada 4 menteri kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi tumpuan dengan taklimat hariannya mengenai langkah keselamatan Covid-19.

“Beliau tidak boleh diketepikan,” kata sumber. “Beliau semakin popular. Perlu diingat bahawa Ismail mendapat undi tertinggi sebagai naib presiden semasa pemilihan Umno lepas.”

Namun, Ismail dilihat memperlahankan rentaknya, terutama ketika bekas bosnya, Najib dan Zahid masih tetap berpengaruh, tambah sumber itu.

Seorang lagi pemimpin yang perlu diperhatikan adalah Mohamad Hasan, yang tiba-tiba menjadi fokus dalam Umno setelah parti itu hilang kuasa pada pilihan raya 2018.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, tidak pernah memegang jawatan dalam Kabinet.

Keadaan itu melindunginya daripada tuduhan biasa yang dilemparkan kepada pemimpin persekutuan pada masa lalu, dengan ramai yang berkata beliau “orang baik”.

Namun menjadi “baik” bukan senjata yang mencukupi untuk bertahan dalam permainan kuasa Umno.

“Ia mungkin tidak membawa anda ke mana-mana kerana tidak dapat menangani sisi politik yang buruk,” kata seorang ahli kanan parti kepada FMT.

Kali terakhir pemilihan jawatan presiden Umno diadakan ialah pada Jun 2018, sebulan selepas parti itu dilucutkan daripada kuasa persekutuan.

Pilihan raya seterusnya dijadualkan pada 2021.

Sementara itu, keadaan tidak lancar antara Najib dan Zahid, wajah kerajaan pimpinan Umno sebelum kekalahan bersejarahnya dalam pilihan raya umum lepas.

Dalam kalangan ahli parti, bukan rahsia lagi bahawa persaingan antara kedua-dua pemimpin itu bermula selepas Zahid bercuti daripada jawatannya selepas memenangi jawatan presiden kerana berdepan banyak tuduhan rasuah.

Pada waktu ini Najib mengumpulkan sokongan daripada akar umbi dengan slogan Bossku.

Ketika Zahid mengakhiri cutinya pada Jun tahun lalu, perselisihan di antara kedua-dua pemimpin itu kelihatan lebih jelas.

Namun, mereka yang menyokong Najib, Zahid, Ismail dan Mohamad mungkin daripada kalangan orang yang sama, kata sumber itu lagi.

Bagi Hishammuddin, yang kini menjawat jawatan menteri luar, beliau mengukuhkan kedudukannya secara diam-diam.

Tanpa sebarang tuduhan ditujukan terhadapnya di bawah pemerintahan PH, walaupun menjadi wajah utama ketika pentadbiran Najib, dilihat memihak kepadanya.

“Sekurang-kurangnya 18 daripada 39 ahli Parlimen Umno menyokong beliau,” kata sumber yang dekat dengan “warlord” parti.

Namun sama ada Hishammuddin dapat menahan serangan pemimpin yang lebih agresif dan “pandai berperang” seperti Najib dan Zahid masih belum jelas.

Bagi Khairy, kekalahannya kepada Zahid dalam pemilihan presiden 2 tahun lalu menunjukkan bahawa kemahiran berpidato sahaja tidak cukup untuk menarik undi.

“Jenama KJ tidak berjaya sebelum ini walaupun mempunyai kebolehan berpidato,” kata sumber itu.

Buat masa ini, tidak jelas siapa yang berkuasa di dalam Umno.

Tetapi parti itu yang berkongsi kuasa persekutuan di bawah kerajaan PN mencetuskan semula daya tarikan jawatan-jawatan dalam parti.