Mahkamah tolak dengar permohonan semak keputusan lepas tanpa bebas Riza Aziz

KUALA LUMPUR: Seorang hakim Mahkamah Tinggi menolak mendengar permohonan menyemak keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) yang diberikan kepada penerbit Hollywood, Riza Aziz membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun tidak memberikan alasan mengapa beliau menolak mendengar permohonan itu.

FMT difahamkan pendaftar mahkamah menghantar e-mel petang semalam memaklumkan peguam Shaharudin Ali mengenai keputusan itu.

Kata pegawai itu, tidak akan ada semakan perkara perkara berkenaan Riza di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, dan menambah surat Shaharudin memohon semakan dihantar kepada Zaini pada petang Rabu.

FMT sedang menunggu maklum balas Shaharudin.

Peguam itu dalam suratnya tumpu kepada penggunaan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah dan sama ada hakim mahkamah bawahan menggunakan budi bicaranya dengan betul.

Peguam A Srimurugan berkata hakim tidak wajib memberikan alasan bagi keputusannya.

“Tetapi berdasarkan fakta kes Riza, tertuduh hanya diberi DNNA dengan syarat dia memenuhi perjanjian di pihaknya, jika gagal, pihak pendakwaan boleh menuduhnya atas kesalahan yang sama,” katanya.

Pada 14 Mei, Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah Putrajaya akan menerima sejumlah besar wang daripada Riza, jumlahnya mencecah beberapa juta ringgit.

Beliau berkata langkah akan diambil untuk memastikan Riza, yang juga anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, hanya akan diberi pembebasan penuh selepas perjanjian itu selesai dengan memuaskan.

Keputusan melepaskan tanpa membebaskan Riza mencetuskan perdebatan sama ada Peguam Negara, Idrus Harun menggunakan budi bicaranya dengan bijak dan peranan dimainkan bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Riza pada Julai tahun lalu minta dibicarakan atas 5 pertuduhan yang melibatkan dana yang didakwa diterima daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd, syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Riza, yang juga anak Rosmah Mansor, didakwa menerima wang itu antara April 2011 hingga November 2012 di Bank City National di Los Angeles, California dan juga Bank BSI di Temasek Boulevard, Singapura.

Kesalahan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda nilai aktiviti haram, mana lebih tinggi.