Maria Chin mahu penjelasan imigresen berhubung kluster depot

Depot imigresen Bukit Jalil yang diisytiharkan sebagai kluster baru Covid-19 semalam.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menggesa Jabatan Imigresen bertanggungjawab dan menjelaskan mengenai kluster Covid-19 di Depot Tahanan Bukit Jalil.

Beliau berkata jabatan itu mungkin tidak melaksanakan SOP ujian dan pengasingan tahanan, menyebabkan pendatang asing yang ditahan di pusat itu terdedah kepada virus tersebut.

Maria menggesa pihak berkuasa imigresen mendedahkan langkah-langkah yang diambil jabatan itu untuk mencegah penularan lanjut virus berkenaan, sambil menambah individu berisiko tinggi seperti warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak mungkin antara golongan yang ditahan di pusat terbabit.

“Layanan tidak berhati perut dan berperikemanusiaan oleh pihak berkuasa terhadap pendatang dengan mengurung mereka bersama hanya akan menyebabkan penularan virus.

“Ia bukan hanya menjejaskan tahanan, tetapi juga boleh menular kepada pegawai imigresen dan orang yang menguruskan tahanan.

“Hanya sekarang, dengan pengesanan kluster itu, perkhidmatan kesihatan diarahkan ke depot tahanan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maria juga mendesak Putrajaya menghentikan penahanan pendatang tanpa izin dan menawarkan mereka pengampunan sementara dalam usaha menggalakkan mereka tampil untuk menjalani pemeriksaan.

Beliau berkata status pendatang asing boleh diselesaikan menerusi undang-undang dan prosedur yang relevan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ditarik balik.

“Kerajaan mesti memandang serius layanan terhadap pendatang asing terutama ketika penularan Covid-19. Jangan memperlakukan dan menahan pendatang seperti lembu,” tambahnya.

Maria turut menggesa supaya sikap xenofobia terhadap pendatang dihentikan, dengan memberi amaran sentimen seperti itu boleh menyebabkan kumpulan minoriti dan terpinggir di Malaysia difitnah.

Beliau berkata pendatang asing menjadi mangsa dasar Putrajaya selama bertahun-tahun, dengan menjadikan mereka kambing hitam jenayah dan membentuk prasangka terhadap komuniti itu.

“Bagaimanapun, pendatang asing tertarik untuk datang ke negara ini kerana ekonomi kita memerlukan mereka untuk melakukan pekerjaan yang kotor, bergaji rendah dan sukar.

“Kita cenderung melihat dengan cara lain jika pendatang tidak memiliki dokumen kerana masih ada keuntungan besar boleh dijana daripada pemerdagangan manusia ini.”

Depot tahanan itu diklasifikasikan sebagai kluster baru Covid-19 semalam selepas 35 kes positif di kesan di situ.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata 35 tahanan itu ditempatkan di depot berkenaan sebelum PKP dilaksanakan pada 18 Mac.