Melaka tertinggi cubaan rentas negeri

PUTRAJAYA: Melaka mencatatkan cubaan rentas paling tinggi iaitu sebanyak 886 kenderaan, atas alasan balik kampung.

Ia diikuti Perak dengan 372 kenderaan dan Pulau Pinang 284 kenderaan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Semalam, 2,539 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung diarah berpatah balik.

“Mungkin mereka takut hari ini ada sekatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, kerajaan memutuskan pergerakan rentas negeri bukan kecemasan tidak akan dibenarkan sama sekali, selepas Kelantan dan Kedah mencatatkan kes terbaru melibatkan individu pulang ke kampung halaman.

Kelantan dan Kedah sebelum ini diisytiharkan kategori hijau kerana tiada kes aktif selama lebih 1 bulan.

Kenderaan yang cuba merentas negeri akan diarah berpatah balik dan dikenakan kompaun serta-merta.

Ismail berkata polis mendirikan 154 sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri seluruh negara, dan memeriksa 264,280 kenderaan.

Ismail juga berkata, merentas daerah dibenarkan tetapi kerajaan tidak mengalakkannya.