Muhyiddin dikuarantin selepas pegawai positif Covid-19

Muhyiddin Yassin disahkan negatif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pagi tadi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin disahkan negatif Covid-19 selepas seorang pegawai yang menghadiri satu mesyuarat dipengerusikan perdana menteri dijangkiti virus itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Muhyiddin diarah menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini.

“Semua ahli mesyuarat tersebut juga telah diarahkan menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.”

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di pejabatnya Rabu lalu.

Katanya, setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan ketat setiap masa.