Najib akui lebih suka Riza terus proses mahkamah rungkai fakta sebenar

Najib Razak berkata, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat tidak mendakwa Riza kerana mencuri, tetapi menerima wang, iaitu dalam bentuk pelaburan daripada Aabar Investment milik keluarga diraja UAE.

PETALING JAYA: Najib Razak tidak menafikan bahawa beliau lebih suka anak tirinya Riza Aziz meneruskan proses perbicaraan di mahkamah.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia dapat memberi peluang kepada Riza dan ahli keluarga merungkai fakta sebenar berhubung pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

“Kalau tanya saya, saya lebih suka Riza teruskan proses di mahkamah. Kalau dia teruskan di mahkamah akan timbulkan fakta sebenar.

“Pertama, fakta yang kita perlu faham ialah Riza tidak didakwa kerana mencuri wang. Ia (tuduhan) tidak dibuat di bawah Akta SPRM dan tidak di bawah Kanun Keseksaan. Dia didakwa di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA). Maknanya dia menerima, bukan mencuri wang.

“Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) pun tak saman Riza atas mencuri, tapi menerima wang. Dia (Riza) menerima (wang) sebab ada pelaburan daripada Aabar Investment yang diarah keluarga diraja UAE.

“Mereka nak melabur dalam produksi filem Riza. Aabar ini syarikat ‘triple A’. Bila dapat pelaburan, dia (Riza) merasakan ini duit daripada Aabar. Tak ada orang tegur bahawa wang itu ada kaitan dengan 1MDB,” katanya ketika wanwancara bersama The Outlook Asia malam tadi.

Najib berkata, selepas Riza menyedari pelaburan Aabar adalah daripada sumber yang diragui, maka beliau bersetuju untuk menyerahkan kembali dana yang diterimanya, termasuk menyelesaikan kes pendakwaan di mahkamah dengan persetujuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara.

“Bila dapat tahu (sumber pelaburan) Riza kata, ‘tak apa, saya sanggup serah aset untuk diselesaikan’ dengan pihak SPRM serta peguam negara, Tommy Thomas, pada waktu itu.

“Mereka tahu kes ini susah. Berat bagi mereka sebab semua berlaku di luar negara. Jadi kalau dibicara pun ada kemungkinan mereka tidak boleh menang. Jadi kalau nak dapat (semula) aset lambat.

“Malah dari segi Riza pula, kalau sekarang sudah 5 tahun menghadapi keadaan begini, dia tidak boleh buat apa-apa benda baru.

“Kalau dia (Riza) teruskan kes mahkamah, ia akan makan masa mungkin 4 tahun lagi. Jadi ‘total’ dekat 10 tahun, hampir 1 dekad hidup dia.

“Jadi dia (Riza) kata ‘tak apa’, beliau serah balik semua aset dalam penyelesaian ini. Beliau nak kebebasan untuk memulakan hidup baru, malah SPRM juga dapat aset lebih awal,” katanya.

Najib berkata, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Tommy sebagai peguam negara ketika itu secara prinsipnya bersetuju untuk memberikan pelepasan tanpa pembebasan kepada Riza.

Pada masa sama, beliau menolak dakwaan ahli politik pro-PH kononnya aset yang diserahkan oleh Riza bukan pada jumlah yang sebenar daripada yang beliau dapat.

“Saya nak jelaskan, ada orang politik kata kononnya, (Riza) ibarat curi 10 ekor ayam bagi balik satu ekor. Ini semua mengarut dengan fakta tak betul,” katanya.

Katanya, jika pihak pendakwaan kalah di mahkamah apabila kes diteruskan, kerajaan tidak akan dapat balik aset dan banyak kos dan masa akan terbuang.

Najib juga menolak dakwaan bahawa kes melibatkan Riza itu diselesaikan dengan cepat hasil bantuan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, kerajaan tidak mencampuri urusan kes tersebut kerana ia dibuat pada masa pentadbiran PH.

Riza baru-baru ini dilepas tanpa dibebaskan daripada 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion).

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad membenarkan permohonan penyelesaian itu selepas pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa penyelesaian tersebut adalah tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian yang dibuat dengan pihak pendakwaan sebelum itu.

Pada 18 November 2019, peguam Riza menghantar surat representasi memohon semua pertuduhan terhadap beliau dikaji semula.

Surat itu antara lain mencadangkan untuk menyerahkan hak beliau ke atas 3 hartanah yang disita oleh DOJ AS.

Riza juga akan memberi kerjasama untuk mengembalikan harta tersebut atau nilainya kepada kerajaan Malaysia.

Pada 5 Julai 2019 beliau dituduh di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kerajaan dijangka menerima aset bernilai RM465.3 juta berikutan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan penerbit filem Hollywood itu.