P Pinang benarkan 15 taska awam operasi 1 Jun

Antara SOP yang perlu dipatuhi taska awam itu termasuk meletakkan tanda jarak 1m di lantai, pembersihan dan nyahkuman secara menyeluruh, penggunaan topeng dan cecair pembasmi kuman, membuat saringan gejala serta pemeriksaan suhu semasa ketibaan kakitangan dan kanak-kanak.

GEORGE TOWN: Sebanyak 15 taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja awam di negeri ini dibenarkan beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata pengusaha perlu memastikan kapasiti taska 50% saja daripada keseluruhan kanak-kanak mengikut pengiraan ruang lantai dan penjarakan sosial dalam ruang aktiviti yang perlu diamalkan.

“Semua 15 taska ini dikehendaki mengesahkan serta memberi keyakinan pihak pengusaha dapat mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), garis panduan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan syarat ditetapkan kerajaan negeri.

“SOP dan garis panduan tersebut menjelaskan perkara yang perlu dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas taska beroperasi oleh pengusaha, kakitangan dan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak ke taska dalam tempoh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara SOP itu termasuk meletakkan label tanda jarak 1m di lantai, khususnya di ruang penyusuan/makan, membasuh tangan dan tempat tidur; pembersihan dan nyahkuman secara menyeluruh di taska; penggunaan topeng dan cecair pembasmi kuman; membuat saringan gejala serta pemeriksaan suhu semasa ketibaan kakitangan dan kanak-kanak.

Phee berkata, kerajaan negeri sudah menemui Persatuan Taska Pulau Pinang untuk berbincang keyakinan serta kesiapsiagaan pematuhan SOP dan garis panduan oleh taska swasta yang berdaftar dengan JKM di bawah persatuan tersebut.

“Pihak persatuan turut merayu dan berharap taska swasta juga dapat dipertimbangkan untuk memulakan operasi dengan keyakinan mematuhi semua SOP dan garis panduan ditetapkan.”