PATI depot tahanan Bukit Jalil, Semenyih jalani ujian swab

KKM mengesan kluster baru Covid-19 di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

PUTRAJAYA: Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil dan Semenyih akan menjalani ujian swab susulan ada kalangan mereka dijangkiti Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang positif dihantar ke tempat rawatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) yang menjadi pusat kuarantin dan pesakit Covid-19.

“Kementerian Kesihatan dan imigresen sudah ambil tindakan iaitu 60 PATI yang positif Covid-19 dihantar ke Maeps.

“Manakala 1,200 PATI di Depoh Bukit Jalil dan 114 kakitangan di situ dibuat ujian swab. 114 kakitangan itu semua keputusan negatif.

“1,200 PATI pula sedang jalani ujian swab,” katanya pada sidang media hariannya.

Semalam, Kementerian Kesihatan berkata terdapat 1 kluster baru yang dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini, seramai 645 orang disampel secara keseluruhan dan 35 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Dalam pada itu, Ismail berkata 1,600 sedang buat ujian swab Covid-19 di Depot Tahanan Imigresen Semenyih,

Katanya, ini susulan 2 PATI positif Covid-19 di pusat tahanan tersebut.