Pesawat bawa 107 kru, penumpang terhempas di Pakistan

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang berpunca daripada pesawat PIA terhempas di Karachi hari ini. (Gambar AP)

KARACHI: Ramai dikhuatiri maut selepas sebuah pesawat Pakistan International Airlines (PIA) yang membawa kira-kira 100 penumpang dan kru terhempas di sebuah kawasan perumahan di bandar terbesar Pakistan, kata pegawai.

Syarikat penerbangan negara itu berkata, penerbangan PK 8303 terhempas bersama 99 penumpang dan 8 kru, tetapi pegawai penerbangan awam berkata jumlah bagi kru dan penumpang ialah 99 orang.

Rakaman televisyen menunjukkan kepulan asap menjulang ke udara dengan serpihan bumbung rumah yang runtuh bertaburan di jalan raya, ketika ambulans bergegas ke tempat kejadian.

Airbus A320 berusia 15 tahun itu yang berlepas dari bandar timur Lahore ke Karachi itu baru menyambung semula penerbangan domestik susulan penularan pandemik Covid-19.

“Perkara terakhir yang kami dengar daripada juruterbang ialah beliau menghadapi masalah teknikal,” kata jurucakap PIA, Abdullah H Khan dalam satu klip video.

“Beliau diberitahu daripada pendekatan terakhir yang kedua-dua landasan sudah bersedia untuk pendaratan, tetapi juruterbang memutuskan mahu membuat satu pusingan…ia adalah insiden sangat tragik.”

Seorang pegawai kanan penerbangan awam memberitahu Reuters, pesawat itu gagal menurunkan tayarnya akibat masalah teknikal sebelum mendarat, tetapi ia terlalu awal untuk menentukan punca nahas.