Pos Malaysia sah polis tahan suspek kes penipuan derma di Facebook

Pos Malaysia berkata, ia akan terus melindungi kehidupan lebih 15,000 anggota barisan hadapan dan kakitangan sokongan operasinya di samping memastikan keperluan mereka diutamakan.

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) semalam mengesahkan polis menahan seorang suspek berhubung penipuan kutipan derma di Facebook.

“Kami memuji tindakan pantas polis untuk membawa ‘scammer’ ke muka pengadilan dan menghentikan eksploitasi atas kebaikan rakyat Malaysia,” menurut Pos Malaysia dalam kenyataan semalam.

Pos Malaysia turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati tentang penipuan kutipan derma di Facebook dan mengelak membuat hantaran bersifat memfitnah.

Ia susulan hantaran di media sosial oleh “Masakan Utara Barat” yang tular, apabila seorang pekerja Pos Malaysia dikatakan menangis di luar sebuah rumah selepas menyampaikan bungkusan.

Pos Malaysia komited terhadap kebajikan pekerjanya. Walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19, ia terus melindungi kehidupan lebih 15,000 anggota barisan hadapan dan kakitangan sokongan operasi di samping memastikan keperluan mereka diutamakan.

“Kami berharap orang ramai akan terus memberikan sokongan dan memahami semasa tempoh ini,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat terkini mengenai perkhidmatan dan aktiviti Pos Malaysia, orang ramai boleh log masuk ke pos.com.my, Facebook (facebook.com/PosMalaysiaBerhad), Twitter (twitter.com/pos4you) dan Instagram (instagram.com/pos4you).