Telefon bimbit Nazrin tak letup, kata saksi kes bunuh CEO Cradle Fund

Kematian Nazrin Hassan diklasifikasikan kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

SHAH ALAM: Saksi pendakwaan ke-20 perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, berkata Blackberry milik mangsa tidak meletup berdasarkan keadaan fizikal telefon bimbit itu.

Pengarah Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Edwin Galan Teruki memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, perkara itu juga disahkan menerusi laporan siasatan pihaknya di lokasi kejadian.

“Saya mendapati ‘handphone’ itu tidak meletup. Kalau ‘handphone’ itu meletup, ia mesti berkecai atau (fizikalnya) melengkung.

“Kawasan bilik (tempat kejadian pembunuhan) juga tidak seperti terkena letupan. Jika ada (terkena letupan daripada telefon bimbit), berkemungkinan dinding bilik ada kesan pecah,” katanya di depan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah berhubung keadaan telefon bimbit mangsa.

Sebelum ini, saksi ke-15 kes itu, Pegawai Penyiasat JBPM Selangor, Abdul Halim Zulkefeli mengesahkan tiada kes melibatkan telefon bimbit jenis BlackBerry meletup, seperti dilaporkan sebelum itu berhubung kematian Nazrin.

Galan berkata, beliau turut melihat terdapat percikan kesan berwarna putih daripada gambar yang diambil di tempat kejadian.

“Percikan ini bukan cat daripada dinding, tetapi adalah entiti haba yang tinggi. Kita dapati percikan itu susulan haba tinggi kesan daripada petrol yang terbakar…bukan ‘handphone’.”

Pada 3 Ogos 2018, kematian Nazrin, 47, diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

Pada 12 Mac 2019, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 45, yang juga bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan 2 remaja lelaki berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki itu.

Perbicaraan bersambung 5 Jun ini.