Tenaganita kesal Putrajaya abai amaran awal tahan pendatang tanpa izin

Tenaganita berkata, jika kerajaan mengambil tindakan terhadap amaran awalnya sebelum serbuan ke atas pendatang tanpa izin ketika PKP, ia dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19 secara mendadak.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi migran, Tenaganita kesal dengan Putrajaya tidak mengendahkan amarannya berhubung penahanan pendatang tanpa izin di depoh imigresen, susulan pengesanan kluster baru di depoh tahanan Bukit Jalil baru-baru ini.

Pengarah Eksekutifnya, Glorene Das berkata jika kerajaan mengambil tindakan terhadap amaran awal yang dikeluarkan Tenaganita sebelum serbuan ke atas pendatang tanpa izin ketika perintah kawalan pergerakan, ia dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19 secara mendadak.

“Kami sudah nyatakan depoh tahanan merupakan tempat terkurung dan kitaran berterusan individu yang masuk dan meninggalkan depoh tahanan akan mewujudkan kawasan sempurna untuk virus itu disebarkan kepada masyarakat.

“Keadaan bertambah teruk kerana terdapat laporan pusat tahanan kita bergelut untuk menyediakan penjagaan kesihatan mencukupi kepada semua tahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Glorene berkata, pihaknya sudah menggesa Putrajaya mengatur penghantaran pulang semua pendatang tanpa izin bersama keluarga mereka, serta segera melepaskan pelarian dan pencari suaka di depoh tahanan imigresen.

‚ÄúTenaganita mempersoalkan niat dan nilai kerajaan Malaysia, yang ketika ini tidak menghiraukan fundamental hak asasi setiap individu tanpa mengira status dokumentasi mereka.”

Beliau berkata demikian selepas Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan kluster baru dikesan di Depoh Tahanan Imigresen di Bukit Jalil selepas 35 tahanan disahkan positif Covid-19.

Hari ini, Hisham dilaporkan berkata, 25 kes baru membabitkan warga Pakistan dikesan di depoh tahanan itu, menjadikan keseluruhannya 60 kes setakat ini.

Katanya, 2 kes positif turut dikesan di Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih membabitkan warga Myanmar.