20 ditahan bergaduh di PPR Jalan Ipoh

Beberapa kenderaan yang diletakkan di PPR Jalan Ipoh di Kuala Lumpur rosak dalam satu pergaduhan lewat malam tadi.

PETALING JAYA: Polis menahan 20 lelaki kerana terbabit dalam pergaduhan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata pergaduhan itu membabitkan kira-kira 30 lelaki yang menyebabkan beberapa kenderaan rosak selepas dirempuh kereta dipandu seorang suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada salah faham membabitkan sekumpulan lelaki dan kira-kira 10 ahli keluarga yang sedang bergaduh.

“Sekumpulan lelaki tidak berpuas hati kerana tindakan beberapa orang yang cuba meleraikan pergaduhan dan dianggap mencampuri urusan keluarga mereka.

“Akibatnya, berlaku tolak-menolak dan pergaduhan di antara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis kemudiannya menahan 20 lelaki berusia 17 hingga 33 tahun untuk direman 4 hari sehingga 26 Mei ini.

Mazlan berkata, polis giat mengesan suspek lain dalam kejadian itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Katanya, seorang lelaki cedera pada jari telunjuk kanan, manakala yang lain tidak cedera.

Beliau mengingatkan orang ramai tidak bertindak bersendirian dan menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum menjelang sambutan Aidilfitri esok.

Terdahulu, tersebar beberapa gambar menunjukkan kenderaan dirempuh berdekatan PPR Pekan Batu 5, Jalan Ipoh sejak awal pagi tadi.