48 kes jangkitan baru Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA: Tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 115 orang.

Dalam perkembangan sama, 48 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 7,185 orang sehingga kini.

Daripada kes baru itu, 4 kes import dilaporkan.

“Kes penularan tempatan sebanyak 44 kes,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Ketika ini, seramai 1,158 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 9 di unit rawatan rapi dengan 5 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Hisham mengumumkan 53 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,912 orang sehingga kini.