Adun Warisan Ben Chong nafi bertukar arah

Ketua Menteri Shafie Apdal (duduk, tengah) bersama ahli Parlimen dan Adun Sabah di Kota Kinabalu pada 5 Mac lepas. Tersebar spekulasi bahawa PN berusaha menarik Adun ke pihaknya.

KOTA KINABALU: Seorang Adun yang juga anggota Majlis Tertinggi Warisan menafikan beliau salah seorang daripada 18 Adun yang dikatakan akan bertukar haluan kepada Perikatan Nasional, sekali gus menamatkan pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai parti itu.

Adun Tanjung Kapor Ben Chong berkata, beliau tetap setia kepada Warisan dan menyokong presiden parti Shafie Apdal yang juga ketua menteri.

“Tidak ada mana-mana Adun daripada blok kerajaan yang akan bertukar arah. Cakap-cakap itu hanyalah sebahagian daripada taktik kotor yang digunakan pembangkang. Mereka berbohong pada bulan Ramadan,” katanya, yang juga merupakan timbalan menteri perdagangan dan industri negeri.

Beliau membidas ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain yang mendakwa ketidakhadiran 24 Adun di majlis menunjukkan sokongan kepada Shafie baru-baru ini adalah tanda perasaan tidak puas hati mereka.

Chong berkata, himpunan besar adalah bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan jangkitan Covid-19.

Di Sabah, himpunan melebihi 20 orang adalah dilarang.

Ben Chong.

Hanya 19 daripada 48 Adun, termasuk ahli yang dilantik, hadir pada satu sidang media yang melibatkan ahli Warisan, Upko, PKR dan DAP Sabah baru-baru ini.

Beliau berkata, sebab lain ketidakhadiran mereka ialah sibuk dengan kerja-kerja penyampaian bantuan kepada anggota masyarakat yang memerlukan, bukannya merancang untuk menjatuhkan kerajaan.

Chong juga membidas pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin yang menasihati parti kerajaan supaya tidak terlalu yakin bahawa tidak ada orang yang akan meninggalkannya.

Bung berkata, sejarah politik di negeri itu kerap menyaksikan ahli politik bertukar haluan lalu menyebabkan tumbangnya kerajaan sebelum ini, termasuk kejatuhan kerajaan PBS di tangan Umno pada 1994.

Chong berkata, kerajaan negeri pimpinanj Warisan tetap utuh dengan sokongan 48 Adun, dan pembangkang bakal berdepan laluan sukar untuk menjatuhkannya.

Kebelakangan ini tersebar desas-desus mengenai pertukaran kerajaan susulan tumbangnya 3 kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) dan digantikan dengan kerajaan baru diketuai Perikatan Nasional (PN).

PN yang turut dianggotai oleh Umno Sabah, PBS dan PPBM menguasai Putrajaya, tetapi merupakan pembangkang di Sabah.