Baru tak layak komen kedudukan GPS dalam PN, kata pemimpin PBB

Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri) dan Ahli Parlimen Selangau Baru Bian.

KUCHING: Pemimpin PBB Sarawak membidas Ahli Parlimen Selangau Baru Bian kerana mengecam parti pemerintah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengenai hubungannya dengan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Baru tidak layak untuk mengulas perkara itu selepas beliau mengkritik pemimpin GPS yang menafikan mereka adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Baru berkata GPS tidak boleh “berkongsi katil dengan Umno dan PAS” dan tetap menegaskan mereka “belum berkahwin”.

Ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) oleh GPS dan parti lain termasuk PPBM, Umno dan PAS yang menyatakan sokongan mereka terhadap penubuhan PN.

Karim berkata Baru harus mempunyai “beberapa prinsip” dalam perjuangan politiknya.

Beliau berkata sebagai peguam, Baru harus mengetahui perbezaan antara MoU dan perjanjian.

“Dia seharusnya dapat menerima kenyataan bahawa ini adalah norma yang diterima dalam semua kerajaan demokratik di dunia.

“Apabila sebuah parti tidak memiliki majoriti mutlak mahu membentuk kerajaan, parti-parti dengan cita-cita bersama akan berunding untuk membentuk gabungan yang longgar dan membentuk kerajaan.

“Sekarang dia mengutuk GPS kerana menjual prinsipnya. Adakah dia lupa bahawa dia juga teman sekatil dengan PAS ketika dia berada dalam PKR dan dalam Pakatan Rakyat?” soalnya.

Karim berkata Baru dilihat sebagai “katak politik” sepanjang karier politiknya.

“Dia pernah berada di STAR Sarawak, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan parti-parti lain dan saya sendiri tidak boleh kira berapa parti yang pernah dia sertai,” katanya.

Beliau menggambarkan Baru sebagai “anggur masam” selepas beliau hilang jawatan menteri dengan Pakatan Harapan, yang disandangnya selama kira-kira 2 tahun.

Beliau berkata Baru harus membuktikan kepada penyokongnya bahawa beliau masih mempunyai semangat juang untuk Sarawak, sambil menambah penyokongnya kucar-kacir selepas beliau “meninggalkan mereka untuk menyelamatkan dirinya”.