Bekas ketua bahagian PKR ganti Hans Isaac di Finas

Bekas ketua PKR Bera Zakaria Abdul Hamid dan bos KRU Music Norman Halim dilantik untuk mengendalikan Finas.

PETALING JAYA: Zakaria Abdul Hamid, bekas ketua bahagian PKR di Pahang dilantik sebagai pengerusi baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menggantikan pelakon dan penerbit Hans Isaac.

Ketua eksekutif KRU Music Norman Abdul Halim pula dilantik sebagai timbalan pengerusi badan itu.

Mereka dilantik untuk tempoh 2 tahun bermula 23 Mei ini, menurut kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Zakaria dipecat daripada PKR tahun lepas berikutan dakwaan rasuah dalam pemilihan parti itu. Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Hans Isaac dilantik sebagai pengerusi Finas tahun lepas, tetapi berdepan tekanan daripada 6 badan industri pada Disember yang mendakwa beliau menyebabkan ketua pegawai eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menamatkan kontraknya 1 tahun lebih awal.