Brazil kini negara ke-2 tertinggi Covid-19 selepas AS

Deretan liang lahad yang siap digali di Tanah Perkuburan Formosa. (Gambar AP)

RIO DE JANEIRO: Brazil menduduki tempat ke-2 di dunia selepas Amerika Syarikat bagi kes Covid-19 pada Jumaat, selepas mengesahkan 330,890 orang dijangkiti virus itu, mengatasi Rusia, kata Kementerian Kesihatan.

Brazil merekodkan 1,001 kematian setiap hari akibat Covid-19 menjadikan jumlah kematian 21,048 orang, menurut Kementerian Kesihatan.

Di Sao Paulo, kota yang paling teruk dilanda virus itu, video udara menunjukkan deretan liang lahad siap digali di Tanah Perkuburan Formosa untuk memenuhi permintaan pengkebumian.

Presiden sayap kanan Jair Bolsonaro dikritik secara luas berhubung caranya menangani wabak itu dan ia juga menjadi fokus krisis politik yang semakin mendalam.

Bekas kapten tentera itu menyaksikan penurunan sokongan, dikecam pesaing politiknya berhubung langkah jarak sosial, sokongan terhadap ubat chloroquine yang belum terbukti dan pertengkaran dengan pegawai kesihatan awam yang berpengalaman.

Jumlah kes baru dan kematian yang sebenarnya mungkin lebih tinggi daripada yang ditunjukkan oleh angka, kerana ekonomi utama Amerika Latin lambat untuk meningkatkan ujian.

Pada Isnin, Brazil mengatasi Britain dengan jumlah jangkitan ke-3 tertinggi di dunia. Ia mengatasi Rusia pada Jumaat, tetapi tidak mungkin melepasi Amerika Syarikat tidak lama lagi. AS mempunyai lebih 1.5 juta kes.

Sejak wabak itu bermula, Bolsonaro kehilangan 2 menteri kesihatan, selepas menekan mereka untuk mempromosikan penggunaan awal ubatan anti-malaria seperti chloroquine dan hydroxychloroquine.

Beberapa pakar kesihatan awam berprofil tinggi juga menarik diri. Banyak yang digantikan oleh tentera.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan Interim Eduardo Pazuello, seorang jeneral tentera yang aktif, menguat kuasakan garis panduan baru bagi penggunaan chloroquine dan hydroxychloroquine yang lebih luas dalam kes ringan.