Jual ayam lebih harga ditetapkan, peniaga dikompaun RM5,000

Peniaga boleh dikenakan kompaun serta merta kerana gagal mematuhi dan melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

IPOH: Seorang peniaga pasar mini di Little India di sini, hari ini menjadi peniaga pertama di negeri ini dikenakan tindakan oleh pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak kerana menjual ayam standard melebihi harga ditetapkan.

Ketua pegawai penguatkuasa Pejabat KPDNHEP Perak, V Ravichandran berkata, peniaga pasar mini terbabit didapati menjual ayam standard pada harga RM7.70 sekilogram berbanding RM7.50 ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa.

Katanya, peniaga itu dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM5,000 kerana gagal mematuhi dan melanggar Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Ia adalah hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh 3 pasukan dengan kekuatan 14 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Perak ke atas premis sekitar bandar raya Ipoh, yang bermula 8.30 pagi dan berakhir sekitar 2 petang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ravichandran berkata, seorang peniaga kedai runcit di Chemor turut dikompaun RM2,500 kerana menjual cili merah pada harga RM18 sekilogram berbanding RM13 yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, sejak pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa bermula Rabu lepas, KPDNHEP Perak menerima sebanyak 26 aduan dan telah memeriksa 1,022 premis perniagaan.