Ketua Audit Negara sah positif Covid-19

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid disahkan positif Covid-19 dan kesemua kontak rapatnya diberitahu supaya mengambil langkah susulan.

PETALING JAYA: Jabatan Audit Negara (JAN) mengesahkan memo bertarikh 21 Mei dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid berhubung keadaan dirinya yang disahkan positif Covid-19 dan akan dikuarantin di hospital.

JAN dalam satu kenyataan hari ini berkata, memo dikeluarkan Nik Azman itu hanyalah untuk edaran dalaman, bukannya untuk dikongsikan dengan pihak luar.

“Tujuan memo tersebut dikeluarkan adalah bagi memastikan urusan pentadbiran di JAN berjalan dengan lancar sepanjang ketiadaan ketua audit negara,” katanya dalam satu kenyataan.

“Semua kontak rapat telah dimaklum untuk tindakan lanjut. Bangunan di Blok F2, Kompleks F di Presint 1 yang terkesan sudah melalui proses sanitasi dan nyah kuman semalam,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diarah untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari berikutan mesyuarat pasca Kabinet membabitkan pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan JAN.

“Semua ahli mesyuarat tersebut juga diarahkan menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini,” kata kenyataan itu lagi.