Majikan digesa jangan pandang ringan peruntukan baru Akta SPRM

Seksyen 17A Akta SPRM akan membolehkan syarikat terbabit dalam kegiatan rasuah didakwa di mahkamah.

PETALING JAYA: Transparency International Malaysia memberi amaran kepada pengarah dan pengurus syarikat tidak memandang ringan peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan liabiliti korporat yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Presidennya, Muhammad Mohan berkata pemimpin syarikat tidak lagi harus berfikir dorongan seperti percutian ditaja atau janji penajaan sebagai pertukaran untuk satu urus niaga boleh diterima dari segi undang-undang.

“Denda itu bukan dalam jumlah sedikit,” katanya kepada FMT.

Di bawah peruntukan itu, yang akan dilaksanakan 1 Jun ini, pihak yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai suapan atau RM1 juta, mana lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Walaupun rasuah dilakukan pekerja, syarikat itu serta pengarah, pengurus, rakan kongsi atau sekutu boleh didakwa.

Mohan memberi contoh seorang eksekutif yang berusaha mendapatkan sebuah projek untuk syarikatnya dengan menawarkan bantuan kepada pengurus pemerolehan.

“Dahulu, hanya individu terbabit yang akan didakwa dengan rasuah jika dia ditangkap. Tetapi mulai 1 Jun, syarikat itu dan pihak atasan boleh didenda atau penjara atau kedua-duanya.”

Beliau berkata, sesetengah majikan mungkin menganggap peruntukan itu tidak adil kepada mereka kerana mungkin terdapat kes di mana mereka tidak menyedari orang bawahan terlibat dalam amalan rasuah.

Itu sebabnya penting untuk semua syarikat mengurangkan risiko dengan menerapkan garis panduan kerajaan untuk memastikan prosedur mencukupi dilaksanakan.

Langkah itu termasuk penilaian risiko, latihan, kawalan untuk mengelakkan rasuah, kaji semula inisiatif anti-rasuah, pemantauan dan penguatkuasaan inisiatif itu.

Mohan berkata, pihak atasan perlu menunjukkan mereka melaksanakan langkah itu.

“Undang-undang tidak mewajibkan mereka berbuat demikian, tetapi ia demi kepentingan mereka. Jika seorang pekerja ditahan atas rasuah, mereka perlu menunjukkan mereka sudah melakukan semua yang mampu untuk mengelakkannya.

“Contohnya, syarikat perlu mempunyai dasar walaupun untuk hadiah perayaan, mengisytiharkannya dan menolak hadiah melebihi jumlah munasabah.”

Sesetengah syarikat, beliau dapati akan mengambil langkah lanjut dengan melaksanakan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ISO 37001).

Beliau menggesa mereka yang mempunyai maklumat rasuah dalam syarikat untuk membuat laporan kepada SPRM.

“Mereka yang membuat laporan boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.”