Pegawai imigresen dari ibu pejabat, negeri ambil alih depot Bukit Jalil

KKM mengesan 1 kluster baru membabitkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan menggerakkan pegawai imigresen dari ibu pejabat dan negeri untuk mengambil alih kawalan serta pengurusan Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, berikutan kemunculan kluster baru Covid-19 di kawasan itu.

Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud berkata pengurusan depot tahanan itu kini dibantu pegawai imigresen Kuala Lumpur; dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan memberi bantuan kawalan.

Beliau berkata semua pegawai imigresen yang bertugas di depot tahanan berkenaan ketika ini dikenakan kuarantin selama 14 hari di rumah sementara menunggu keputusan saringan Covid-19.

“Setakat ini, keputusan saringan Covid-19 terhadap 98 pegawai bertugas di Bukit Jalil didapati negatif dan semua mereka akan terus dikuarantin selama 14 hari.

“Selain itu, semua tahanan pendatang tanpa izin di depot tahanan itu termasuk pegawai imigresen dan pembekal makanan juga akan menjalani saringan Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya, semalam.

Khairul Dzaimee berkata bagi tahanan yang positif Covid-19 mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata semua tahanan dan petugas di depot tahanan imigresen Bukit Jalil dan Semenyih, Selangor akan menjalani ujian saringan Covid-19.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata ini akan melibatkan kira-kira 1,200 tahanan di Bukit Jalil dan 1,600 tahanan di Semenyih.

Setakat ini ujian saringan Covid-19 hanya akan dibuat di 2 depoh ini, selepas tahanannya dikesan positif Covid-19.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan sebanyak 25 kes dikesan di depot tahanan imigresen Bukit Jalil.

Terdahulu, KKM mengesan 1 lagi kluster baru membabitkan warga asing di depot tahanan imigresen berkenaan.