Wuhan kini haramkan penduduknya makan daging haiwan liar

Pihak berkuasa di Wuhan mengharamkan penduduk bandar itu memakan daging haiwan liar. (Gambar AP)

Seperti yang semua sedia maklum sebelum ini dikatakan Wuhan ialah tempat tercetusnya wabak Covid-19.

Malah dilaporkan pasar basah yang menjual hidupan liar sebagai makanan punca wabak itu yang sehingga kini membunuh lebih 320,000 orang di seluruh dunia.

Sehubungan itu baru-baru ini, pihak berkuasa di Wuhan mengharamkan penduduk bandar itu memakan daging haiwan liar.

Ramai pakar menyifatkan penularan wabak maut itu berpunca dari pasar basah di bandar tersebut.

Pihak berkuasa mengumumkan mereka kini melarang aktiviti pemburuan semua binatang liar dan mengatakan bandar dengan penghuni seramai 11 juta orang itu akan dijadikan “tempat perlindungan hidupan liar”.

Selain itu, pihak berkuasa juga mengetatkan undang-undang dengan melarang pembiakan haiwan dan petani yang memelihara haiwan tersebut akan ditawarkan pembelian.

Para saintis sebelum ini mengatakan Covid-19 muncul secara semula jadi pada kelawar dan kemudian ia disebarkan menerusi haiwan lain kepada manusia bermula di pasar hidupan liar dan makanan laut di Wuhan.

Jumlah kes Covid-19 di China sehingga kini ialah sebanyak 82,965 dengan angka kematian sebanyak 4,634 kes.

Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan “fokus penyelidikan” pandemik itu tertumpu kepada penularan daripada haiwan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]