60 kes jangkitan baru Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA: Tiada korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 115 orang.

Dalam perkembangan sama, 60 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 7,245 orang sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 1,185 pesakit sedang dirawat.

Daripada jumlah tersebut, 9 di unit rawatan rapi dengan 4 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Hisham mengumumkan 33 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,945 orang sehingga kini.

Daripada 60 kes baru yang dilaporkan, 7 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 53 kes penularan tempatan, 44 kes adalah bukan warganegara Malaysia, di mana 27 kes bukan warganegara Malaysia dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan 6 kes di sebuah kluster baru di DTI Sepang,” katanya.