Baju contoh atau pita pengukur, ibu bapa kreatif cari baju raya anak semasa PKP

Nazri Baba, 40 menunjukkan contoh baju kurung anaknya, dalam usahanya menggalas cabaran membeli persiapan raya tanpa kehadiran anak-anak.

KUALA LUMPUR: Dalam kewaspadaan berhari raya tahun ini, ibu bapa merancang kegiatan membeli-belah untuk persiapan anak-anak, berikutan keputusan kerajaan tidak membenarkan kanak-kanak dan warga emas dibawa ke tempat yang sesak.

Mereka mencari penyelesaian yang kreatif ketika anak-anak menanti di rumah, sesuai saranan pihak berkuasa.

Hal ini dikongsi seorang penjawat awam, Nazri Baba, 40 yang keluar mencari keperluan anak-anak, khususnya baju raya yang akan dipakai pada hari pertama Aidilfitri.

“Jika sebelum ini dapat keluar bersama anak-anak buat persiapan hari raya. Sambutan raya kali ini saya lebihkan anak-anak, kita tidak boleh ziarah sanak saudara, tapi raya tetap perlu disambut,” katanya kepada FMT.

Bapa 4 orang anak itu berkata, dia membawa baju contoh setiap anak-anak ketika membeli persiapan raya, bagi mendapatkan ukuran bertepatan dengan saiz badan.

“Cabaran jugalah untuk mencari baju anak-anak walaupun mereka tidaklah cerewet. Alhamdulillah anak-anak bukan jenis yang memilih, cumanya saya sebagai bapa akui, saya cari baju anak-anak yang sedap mata saya memandang,” katanya.

Sabariah Jaafar, 40, membawa pita pengukurnya sendiri bagi mendapatkan saiz yang tepat buat 2 orang anaknya yang masih kecil.

Bagi Saidatul Salina Abdul, 39, walaupun Putrajaya tidak menggalakkan aktiviti kunjung mengunjung dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, namun persiapan agar anak-anaknya tersenyum pada pagi Syawal tetap dilakukan.

“Walaupun raya kali ini tidak kemana-mana, terus berada di rumah sahaja namun biarlah persiapan itu tetap dilakukan, biar anak-anak saya yang usia 10, 8, 5, dan 2 tahun tetap merasa suasana hari raya pada tahun ini,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana caranya dia membuat persiapan baju raya setiap anak-anak, Saidatul bergantung pada naluri seorang ibu.

“Saya agak-agaklah saiz baju mereka. Tetapi biarlah beli saiz yang besar sikit sebab sekarang inipun kalau beli tidak boleh mencuba pakaian atau tukar.

“Walaupun raya tahun ini tidak ke mana-mana, tetapi di rumah tetap ada makanan tradisi, biar anak-anak rasa suasana hari raya. Memang saya setiap tahun akan beraya di Kuala Lumpur sahaja, sebab sudah tidak ada sesiapa di kampung,” katanya.

Saidatul Salina Abdul, 39 menggunakan nalurinya sebagai seorang ibu, dalam usahanya mendapatkan saiz baju yang sesuai buat anak-anaknya.

Sementara itu, bagi Sabariah Jaafar, 40, dia tidak kekok membawa pita pengukur ke kedai pakaian sekitar Kuala Lumpur, malah lebih selesa.

“Saya ukur siap-siap saiz badan mereka di rumah,” katanya.

Walaupun tidak ada warna tema yang ditetapkan seperti mana yang dilakukan pada tahun lalu dan sebelumnya, ia sudah memadai untuk membuatkan anak-anaknya gembira.

Sabariah bersyukur anak-anaknya memahami penerangan yang diberikannya berhubung keadaan semasa negara ketika ini, bahkan memilih untuk terus berada di dalam rumah daripada berada di luar.

“Memang mereka faham. Kalau hendak bawa keluar juga mereka tidak mahu. Hal ini kerana saya sudah cerita dengan lebih awal lagi, iaitu kesan daripada wabak Covid-19 ini, mereka juga takut dan memilih untuk terus berada di rumah,” katanya.