Bekas polis bunuh penyanyi pop Lubnan diampunkan Mesir

Bekas anggota polis, Mohsen al-Sukkari mula menjalani hukuman penjara 25 tahun pada 2010 kerana membunuh penyanyi Lubnan, Suzanne Tamim pada 2008. (Gambar Reuters)

KAHERAH: Presiden Mesir pada Sabtu memberi pengampunan kepada ribuan banduan, termasuk seorang bekas anggota polis yang dipenjarakan kerana membunuh seorang penyanyi pop lebih sedekad lalu, menurut warta kerajaan.

Abdel Fattah al-Sisi memberi pengampunan kepada 3,157 banduan yang dipenjarakan atas pelbagai kesalahan menjelang sambutan Aidilfitri.

Antaranya bekas anggota polis, Mohsen al-Sukkari yang mula menjalani hukuman penjara 25 tahun pada 2010 kerana membunuh penyanyi Lubnan, Suzanne Tamim.

Mahkamah mendapati Sukkari bertindak atas arahan taikun hartanah Mesir, Hisham Talaat Moustafa dengan bayaran $2 juta.

Pembunuhan Tamim, kekasih Moustafa pada 2008 mencetuskan kemarahan orang ramai di rantau Arab.

Moustafa, ahli perniagaan terkenal, dijatuhkan hukuman 15 tahun atas peranannya dalam jenayah itu, tetapi dia diberikan pengampunan pada 2017 atas alasan kesihatan.

Dia rapat dengan Gamal Mubarak, anak kepada bekas presiden, Hosni Mubarak yang digulingkan pada 2011 ketika kebangkitan rakyat “Arab Spring” yang sebahagiannya berpunca daripada kekejaman dan rasuah berleluasa.

Moustafa juga pernah menjadi ahli Parti Demokratik Nasional pimpinan Mubarak yang sudah dibubarkan.