MMA bidas diskriminasi terhadap anak petugas barisan depan

Taman asuhan kanak-kanak diminta asingkan anak petugas barisan depan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atas diskriminasi terhadap anak petugas barisan depan yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak (Taska).

MMA merujuk kepada Panduan Pencegahan Penularan COVID-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak, yang menurut persatuan itu menyatakan anak petugas barisan depan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan daripada ibu bapa mereka.

Menurut MMA lagi, panduan itu menyatakan tempat paling selamat untuk anak petugas barisan depan adalah “penjagaan di rumah”, dan sekiranya mereka dihantar ke Taska, “perlu diasingkan daripada anak-anak yang lain”.

“MMA bimbang dan terkejut dasar seperti itu diluluskan kementerian dan diedarkan Jabatan Kebajikan,” kata Presiden N Ganabaskaran dalam kenyataan.

“Petugas barisan depan dan anak mereka tidak patut dikenakan dasar dan amalan diskriminasi seperti itu. Ini tidak boleh diterima.”

MMA berkata Kementerian Kesihatan (KKM) harus dirujuk berhubung tatacara operasi standard, menggesa KPWKM merujuk KKM tentang langkah pencegahan yang wajar dan disarankan untuk Taska.

“Ramai petugas barisan depan tersinggung dengan bahagian dalam garis panduan Taska itu,” katanya.

Semalam, surat yang ditandatangani 250 pakar pediatrik, dengan sokongan Persatuan Pediatrik Malaysia, menggambarkan garis panduan itu “tamparan” kepada petugas barisan depan.