Polis ada kaedah kenal pasti individu rentas negeri tanpa kebenaran

Abdul Hamid Bador berkata, kesan daripada apa jua tindakan sekatan jalan dan PKPB yang dilaksanakan polis dapat dilihat dalam masa 2 minggu.

KUALA LUMPUR: Polis mempunyai kaedah tertentu untuk mengenal pasti individu yang merentas negeri tanpa kebenaran dan berkumpul dengan keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri.

Tanpa memperincikan kaedah itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, polis sudah melakukan pemeriksaan secara mengejut di kediaman yang dikenal pasti ingkar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula semalam.

Beliau berkata, ini menunjukkan polis serius melaksanakan PKPB, iaitu mengadakan sekatan jalan di tempat strategik di sepanjang lebuh raya, jalan negeri dan jalan persekutuan.

“Ia semata-mata untuk memutuskan rantaian Covid-19 yang merebak akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang degil (dengan) melakukan perjalanan rentas negeri.

“Perbuatan mereka yang cuba balik kampung atau terlepas ke kampung amat berisiko dan berbahaya kepada keluarga mereka,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak malam tadi.

Hamid berkata, apa jua tindakan sekatan jalan dan PKPB yang dilaksanakan polis akan dapat memperlihatkan kesan dalam masa 2 minggu.

“Jika 2 minggu selepas ini kami dapati berlaku peningkatan kes Covid-19, maka tindakan yang kami laksanakan sebelum ini kurang berkesan.

“Oleh itu, polis sedar dan amanah yang diberikan Jawatankuasa Kabinet memberikan tanggungjawab kepada polis untuk mengetatkan pergerakan rentas negeri yang tidak sepatutnya dilakukan.”

Mengenai pemeriksaan di kawasan perumahan, beliau berkata, pasukan pemantau daerah akan keluar membuat tinjauan untuk mengesan kawasan perumahan dengan lebih banyak kenderaan keluar berbanding kebiasaan.

“Dari situ kami boleh membuat tanggapan di mana kenderaan yang datang dari tempat lain mungkin daerah atau negeri untuk membuat ziarah Aidilfitri.”

Hamid berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dengan menyoal penghuni di dalam rumah yang terlibat ziarah Aidilfitri.

Mengenai Plaza Tol Gombak yang lengang malam tadi, katanya, ia jauh berkurangan dan tidak seperti kebiasaan pada malam raya yang akan berlaku kesesakan lalu lintas teruk.

“Perkara yang sama juga berlaku di Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Sungai Besi, tersangatlah lengang daripada kebiasaan.

“Tidak dinafikan 90% rakyat Malaysia mematuhi PKPB dan hanya 5% yang masih mengingkari PKPB.”

Beliau mengingatkan mana-mana individu yang cuba merentas negeri supaya melupakan niat itu kerana sekatan jalan raya dilaksanakan 24 jam.