172 kes baru Covid-19, kes aktif kini lebih 1,300

PUTRAJAYA: Sebanyak 172 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, menaikkan kes aktif ketika ini kepada 1,323 kes.

Ketika ini, seramai 8 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 4 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan daripada angka kes terbaru itu, 5 daripadanya kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 167 kes penularan tempatan, 159 kes bukan warganegara Malaysia, di mana 112 kes dikesan di 3 depot tahanan imigresen (DTI).

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depot imigresen merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa.”

Sementara itu, seramai 34 pesakit dilaporkan pulih dan dibenarkan keluar wad pada hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 5,979 kes.

Tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, mengekalkan jumlah korban 115 kes.

Jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh bersamaan 80.6% daripada keseluruhan kes Covid-19, sementara jumlah keseluruhan kematian bersamaan 1.55%.