KEMASKINI: Kluster depot tahanan imigresen naik kepada 228 kes

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan kluster Covid-19 melibatkan depot tahanan imigresen (DTI) meningkat kepada 228 secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media sama melaporkan 112 kes daripada 172 kes jangkitan baru setakat 12 tengah hari tadi dikesan di DTI Sepang, Bukit Jalil, dan Semenyih.

Bagi Kluster DTI Sepang, 36 daripada 1,449 sampel yang diambil daripada Kluster DTI Sepang didapati positif.

Daripada jumlah tersebut, 29 adalah kes terbaru.

“540 kes negatif dan 873 sampel masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu dalam Kluster DTI Bukit Jalil, 126 daripada 1,536 sampel, melibatkan 1,422 tahanan dan 114 kakitangan, didapati positif.

“514 kes negatif dan 896 sampel masih menunggu keputusan.”

Bagi DTI Semenyih pula, 66 daripada 1,757 sampel, melibatkan 1,630 tahanan dan 127 kakitangan, didapati positif.

“753 kes negatif dan 938 sampel masih menunggu keputusan.”

Secara keseluruhan setakat ini, 227 kes positif dalam 3 kluster itu melibatkan warga asing:

  • 53 kes warganegara Bangladesh
  • 41 kes warganegara India
  • 38 kes warganegara Indonesia
  • 37 kes warganegara Myanmar
  • 28 kes warganegara Pakistan
  • 17 kes warganegara China
  • 4 kes warganegara Kemboja
  • 3 kes warganegara Nepal
  • 2 kes warganegara Sri Lanka
  • 1 kes warganegara Filipina
  • 1 kes warganegara Libya
  • 1 kes warganegara Mesir
  • 1 kes warganegara Syria

Ditanya mengenai faktor penularan jangkitan di DTI, Hisham tidak menolak kemungkinan ia disebabkan ruang tahanan sempit.

“Itu satu faktor. Kalau ruang sempit dan seseorang itu positif, besar kemungkinan menjangkiti…tapi siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Kementerian Kesihatan juga sedang menyiasat punca jangkitan seorang kakitangan pentadbiran DTI Semenyih.

“Selepas kenal pasti kakitangan ini positif, kita terus saring keluarga mereka. Setakat ini, kita tak pasti sama ada jangkitan daripada orang kena tahan atau komuniti,” katanya.

Mengenai faktor jangkitan dalam kluster tapak pembinaan di Kuala Lumpur yang sudah menjangkiti 44 individu warga asing, Hisham berkata jangkitan tinggi itu mungkin disebabkan cara hidup atau keadaan tempat tinggal.

Biarpun tatacara operasi standard pencegahan dilaksanakan di tapak pembinaan, tiada kawalan di penempatan dan rumah mereka.

“Besar kemungkinan pekerja asing berkenaan duduk di tempat yang tertutup dan sempit. Itu menjadi faktor utama bagaimana jangkitan dapat menular,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai kementerian menerangkan kepada FMT selepas sidang media hari ini bahawa pendatang tanpa izin (PATI) positif Covid-19 yang bergejala ringan akan dirawat di Taman Expo Pertanian Malaysia Sedang (Maeps).

PATI yang bergejala teruk akan dirawat di hospital.

Kerajaan hari ini mengumumkan Maeps dijadikan pusat kuarantin dan rawatan PATI yang positif Covid-19, bawah kawalan polis, tentera, dan imigresen.