NGO dakwa PKP punca kes gangguan seksual ‘online’ melonjak

Buli siber dan gangguan seksual meningkat ketika tempoh PKP.

PETALING JAYA: Sebuah NGO hak asasi wanita berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) menjadi punca lonjakan kes gangguan seksual atas talian dan menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis mengambil tindakan tegas untuk melindungi wanita.

The All Women’s Action Society (Awam) berkata pihak berkuasa tidak boleh memandang remeh betapa teruknya gangguan seksual atas talian, dengan memberi contoh kejadian bunuh diri gadis berusia 20 tahun, Thivyaanayagi Rajendran, baru-baru ini.

Ia juga mengecam kurangnya penguatkuasaan pihak berwajib ketika mengambil tindakan terhadap buli siber dan gangguan atas talian.

Awam berkata ia diberitahu sekurang-kurangnya 2 kes gangguan seksual melibatkan kakitangan di pusat kuarantin.

“Seorang mangsa mendakwa bilik hotelnya dipecah masuk di mana pengganggu menghantar gambar (melalui telefon bimbitnya) seluar dalam miliknya di dalam bilik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata 18.5% panggilan yang diterima di talian bantuannya dikaitkan dengan kes gangguan seksual, di mana lebih 40% terdiri daripada kes atas talian.

Awam berkata banyak kes menggunakan akaun media sosial tanpa nama untuk membuat komen seksis, lelucon atau gangguan secara terang-terangan, dan memberi amaran ini sangat berbahaya ketika wujudnya masalah kewangan, psikologi dan pekerjaan pada masa ini.

“Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dan cadangan pindaan anti-hendapan terhadap Kanun Keseksaan akan memberi manfaat dalam memberikan keselamatan kepada mangsa dan yang paling penting, menuntut pertanggungjawaban melalui proses undang-undang.

“Ini juga akan berfungsi sebagai alat pencegahan dan mengajar rakyat Malaysia menghormati sesama warganegara dalam semua ruang, atas talian atau sebaliknya,” katanya.

Ia menggesa Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan SKMM bekerjasama menyiasat kes-kes ini dan menyelesaikan isu tersebut sebelum ia menjadi penyakit sosial yang lebih besar.

Awam juga berkata ugutan rogol dan bunuh yang diterima Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei baru-baru ini, merupakan contoh kes yang berlaku pada masa kini.