Pavithra kongsi kisah sedih terpaksa berhenti sekolah menengah

Sugu Pavithra

Nama S Pavithra sudah tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia gara-gara video masakannya yang dilakukan secara bersahaja di saluran YouTube.

Namun di sebalik populariti yang dikecapi bersama suaminya ketika ini, mungkin ramai yang tidak tahu dia pernah mengalami kisah duka dalam hidupnya.

Dalam satu temu bual bersama Astro, isteri kepada M Sugu yang turut serta dalam pembuatan video di channel “Sugu Pavithra” itu memberitahu dia tidak dapat meneruskan persekolahannya satu ketika dahulu kerana kesusahan hidup yang dialami keluarganya.

Jelas Pavithra, walaupun pernah mendapat keputusan 5A ketika Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), namun beliau terpaksa berhenti sekolah ketika berada di Tingkatan 4.

“Saya dulu sekolah rendah UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dapat 5A. Bahasa Melayu memang subjek kegemaran saya. Cuma, apabila ke Sekolah Menengah saya hanya dapat belajar separuh jalan sahaja. Tingkatan 4 pun tak habis belajar.

“Saya dari kecil memang susah. Hari-hari pergi sekolah, naik bas tambang, tapi selalu tak dapat pergi sekolah sebab susah. Jadi, saya tak dapat belajar dengan baik,” katanya kepada Astro Gempak.

Keputusan tidak meneruskan persekolahan dan bekerja ketika itu menurut Pavithra bagaimanapun secara tidak langsung memberi ruang kepada beliau untuk mempelajari bahasa Melayu dengan lebih fasih.

Hal itu menurutnya berlaku selepas dia lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan yang berbahasa Melayu dengan baik ketika bekerja di kilang.

“Sewaktu kerja di kilang, saya banyak bergaul dengan lebih ramai kawan-kawan Melayu. Dari situlah bahasa Melayu saya menjadi lagi fasih,” katanya.

Dan kini siapa sangka, dengan kemahiran bahasa Melayu yang begitu baik, beliau mampu menarik minat ratusan ribu penonton dengan penghasilan dan perkongsian video masakannya di YouTube.

Malah kisahnya sebelum ini menyatukan rakyat Malaysia dengan video-video yang dimuat naik bersama suaminya M Sugu turut menarik perhatian perdana menteri kita.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]