PKR Sabah gesa bekas ketua wanita tinggalkan parti dengan cara terhormat

Bekas ketua wanita PKR Sabah, Rahimah Majid. (Gambar fail)

KOTA KINABALU: PKR Sabah hari ini memberi amaran kepada bekas ketua wanitanya, Rahimah Majid yang membuat “tuduhan tidak berasas” terhadap presiden parti itu, sehari selepas beliau mendakwa Anwar Ibrahim menjadi punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana “terdesak” mahu menjadi perdana menteri.

Ketua Biro Disiplin, Sazalye Donol turut mendesak Rahimah meninggalkan PKR “secara terhormat”, berkata penggantungan bekas ketua wanita itu mengikut perlembagaan parti.

Beliau memberitahu FMT Perkara 41.6 perlembagaan menyatakan majlis pimpinan pusat berhak menggantung keahlian sehingga siasatan lembaga disiplin selesai.

“Perenggan 5 surat yang diterima Rahimah secara eksplisit menyatakan beliau akan diberi peluang untuk menjelaskan kepada lembaga disiplin, yang akan memanggilnya dalam masa terdekat.

“Ini bermakna lembaga itu, selepas menyelesaikan siasatan, akan mengeluarkan surat perintah bersama tuduhan terhadap beliau. Tetapi dengan sombong, ego dan secara membabi buta, beliau menyalahkan presiden parti atas kejatuhan PH.”

Semalam Rahimah berkata beliau tidak membuat rayuan selepas digantung daripada PKR, mengatakan tiada kes atau tuduhan untuk dijawab beliau.

Rahimah turut bercakap mengenai tindakan terhadap mereka yang setia kepada PKR, berkata beliau dan ramai ketua dan ahli parti lain tiada pilihan selain meninggalkan parti.

Ketua Biro Disiplin PKR Sabah, Sazalye Donol.

“Sekiranya Anwar bertindak dengan betul dan strategik daripada menjadi buta kerana ketamakan dan nafsu menjadi PM, dan sekiranya 92 ahli Parlimen mereka menyokong Tun (Dr Mahathir Mohamad) di depan Agong pada 27 Feb di Istana, Agong tiada pilihan selain melantik semula Tun sebagai PM,” katanya.

“Sebaliknya, Anwar dan PH hanya menyedari kebodohan mereka pada malam 27 Feb dan menukar pendirian pada 28 Februari selepas bertemu Tun semula untuk membawa beliau kembali ke PH.”

Namun, Sazalye berkata tuduhan Rahimah itu menunjukkan kurangnya pengetahuan mengenai peristiwa yang membawa kepada kejatuhan PH.

“Tindakan disiplin terhadap beliau tidak ada kena mengena dengan presiden.

“Saya menasihatkan beliau, sebagai seorang peguam, supaya meninggalkan PKR secara terhormat tanpa memburukkan parti.”