Polis sahkan ada majlis perkahwinan di kuil Seri Kembangan

Sebarang aktiviti keagamaan di rumah ibadat tidak dibenarkan ketika PKPB.

PETALING JAYA: Polis hari ini mengesahkan satu upacara perkahwinan diadakan di sebuah kuil di Seri Kembangan, kurang 24 jam selepas menafikan dakwaan majlis itu berlaku.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Serdang, Ismadi Borhan berkata pihak pengurusan kuil terbabit mengesahkan upacara itu selepas ditemui polis pagi tadi.

Upacara perkahwinan itu diadakan semalam, antara 8 hingga 10 pagi, dan dihadiri 20 hingga 30 orang yang pada mulanya cuba menafikan perkara itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020 dan usaha mengesan semua suspek sedang dilakukan,” kata Ismadi.

Semalam, Bernama melaporkan penjaga kuil berkenaan memberitahu polis tiada aktiviti dijalankan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), selepas tular 1 klip video 1 minit menunjukkan sejumlah orang berhimpun di kuil itu.

Ismadi meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan komen yang boleh menjejaskan keamanan dan mendatangkan kegusaran awam.

“Kita meminta semua pihak supaya memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi supaya rantaian pandemik Covid-19 dapat dibendung.

Ismadi juga berkata seorang lelaki berusia 41 tahun membuat laporan polis berhubung gambar peribadinya yang disebarkan melalui beberapa kumpulan WhatsApp selepas dia berkongsi video mengenai upacara perkahwinan itu.

“Video berkenaan diambil sendiri pengadu ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja. Pengadu risau keselamatan dirinya dan minta polis menyiasat perkara ini.