2 lagi hospital dikenal pasti lokasi untuk PATI positif Covid-19

PATI yang negatif Covid-19 akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

PUTRAJAYA: Selain pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), kerajaan mengenal pasti 2 lagi hospital yang akan dikhaskan untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didapati positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata 2 tempat itu ialah Hospital Kusta, Sungai Buloh dan Bangunan Wad Bersalin Lama, Hospital Kuala Lumpur.

“Semua pusat rawatan ini dijangka mampu menampung 1,430 pesakit,” katanya pada sidang media hariannya.

Ismail berkata kerajaan juga memutuskan PATI yang negatif Covid-19 akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Katanya, Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra diminta untuk berbincang dengan rakan sejawat dan kedutaan negara terlibat bagi urusan kepulangan rakyat mereka.

“Keputusan Mesyuarat Khas hari ini memutuskan untuk saringan Covid-19 dilakukan ke atas semua PATI di Depot Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih,” katanya.

Covid-19 di tapak pembinaan KL

Ismail berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Wilayah Persekutuan memaklumkan terdapat jangkitan Covid-19 di sebuah tapak binaan di Kuala Lumpur.

Katanya, kluster itu dapat dikenal pasti kerana kontraktor mematuhi SOP yang ditetapkan, iaitu untuk melakukan saringan Covid-19 ke atas pekerja mereka sebelum dibenarkan beroperasi.

“Setelah menjalankan saringan Covid-19 ke atas semua pekerja, 44 pekerja disahkan positif dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Pekerja-pekerja yang mempunyai kontak rapat juga telah dikuarantin,” katanya.

Ismail berkata Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya mengenakan perintah tutup tapak binaan dan rumah kongsi yang terlibat.

Katanya, JKWP juga akan melaksanakan proses pembersihan dan nyah kuman di tapak binaan dan rumah kongsi tersebut.

“CIDB akan terus memeriksa tapak binaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepanjang tempoh PKPB.

“Sehingga hari ini, 5,236 tapak binaan diperiksa. Daripada jumlah itu, 728 tapak binaan didapati mematuhi SOP dan 209 tapak binaan tidak mematuhi SOP dan diberi amaran.

“Sebanyak 7 tapak binaan diberi arahan tutup dan 4,292 tapak binaan tidak beroperasi,” katanya.

Kapasiti penumpang kenderaan

Ismail berkata kerajaan mewartakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6) (Pindaan) 2020.

Katanya, pindaan itu antara lain berkaitan kapasiti penumpang bagi kenderaan persendirian.

“Bagi kenderaan persendirian, pemandu boleh membawa penumpang mengikut kapasiti kenderaan masing-masing yang dikawal selia di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Penumpang mestilah orang yang tinggal serumah dengan pemandu. Peraturan ini akan berkuatkuasa esok.”