Bekas pengarang kumpulan NST Ahmad Talib meninggal dunia

Ahmad A Talib menghidap barah hati.

PETALING JAYA: Bekas pengarang kumpulan New Straits Times, Ahmad A Talib meninggal dunia hari ini akibat barah hati.

Beliau yang berusia 69 tahun, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 5.42 petang tadi.

Jenazahnya dibawa ke Masjid Al-Muqarrobin di Bandar Tasik Selatan untuk solat jenazah dan akan dikebumikan hari ini.

Ahmad memulakan kerjaya sebagai wartawan dengan Bernama pada 1972 dan kemudiannya menyertai NST.

Beliau pernah menjadi penolong pengarang Berita Harian sebelum dilantik sebagai pengarang kumpulan NST pada 1998.

Beliau menjadi pengurus besar kumpulan, komunikasi dan pemasaran editorial pada 2004 sebelum bersara pada awal 2005.

Ahmad dilantik sebagai pengarah eksekutif berita dan operasi editorial Media Prima Bhd mulai 2009 hingga 2014.

Beliau juga pernah menganggotai Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Salam dan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Malaysia.